Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua graduan cemerlang di puncak kejayaan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN – Setelah melalui pelbagai cabaran dan ujian, kejayaan menamatkan pengajian di peringkat universiti merupakan satu pencapaian yang amat bermakna bagi para graduan kerana segala pengorbanan yang dilalui baik dari segi tenaga mahupun masa telah membawa mereka ke detik di mana mereka bergelar graduan universiti.

    Namun kejayaan itu bukannya titik noktah dalam perjalanan pembelajaran mereka tetapi satu permulaan bagi mereka untuk menyumbang bakti kepada bangsa, agama dan negara.

    Graduan Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dayang Nurul Izzyan binti Duraman, dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, selepas Majlis Konvokesyen UTB ke-13, baru-baru ini, menyatakan perasaan amat gembira setelah menamatkan pengajian di UTB dan sangat bersyukur kepada UTB atas segala ilmu serta pengalaman yang dicurahkan sepanjang pengajiannya di universiti berkenaan.

    Beliau menyatakan berkat usaha dan sokongan daripada semua termasuk ibu bapa, keluarga, pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan selama tuga tahun pengajiannya, beliau berjaya mendapat Kepujian Kelas Pertama Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Agroteknologi (Minor dalam Perdagangan).

    Perasaan syukur dan gembira itu, turut dinyatakan oleh graduan Sarjana Sains (Kerja Kursus) dalam Kejuruteraan Awam, Awang Muhammad Daniel bin Haji Yussof di mana ia juga merupakan satu detik yang mendebarkan baginya dalam memulakan perjalanan seterusnya dalam kehidupannya.

    Awang Muhammad Daniel bergambar bersama kedua-dua ibu-bapanya pada majlis konvokesyen tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Dayang Nurul Izzyan turut mengabadikan kenangan bersama keluarganya pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    “Jika seseorang memberitahu diri saya yang berumur 18 tahun semasa Peringkat A bahawa saya akan menamatkan pengajian dengan ijazah Sarjana dengan Distinction suatu hari nanti, saya pasti sukar untuk mempercayainya. Pencapaian ini sememangnya satu pencapaian yang amat saya hargai.”

    Mengulas mengenai sumber inspirasi dan dorongan utama sepanjang pengajiannya, Awang Muhammad Daniel berkata bahawa rakan sejurusannya menjadi sumber inspirasi utama baginya.

    Menyaksikan usaha keras dan tekun mereka itu serta mengetahui bahawa mereka berada dalam situasi yang sama berusaha untuk menamatkan pengajian bersama, jelasnya, memberikannya motivasi untuk melakukan yang terbaik.

    “Bertukar-tukar pendapat, pengalaman dan pandangan dengan mereka membolehkan saya melihat sesuatu daripada perspektif yang berbeza, yang bukan sahaja merangsang pembelajaran dan pertumbuhan saya tetapi juga mendorong saya untuk merenung diri dan berusaha lebih keras.”

    Manakala itu, bagi Dayang Nurul Izzyan pula ibu bapa dan seluruh keluarga merupakan sumber inspirasi serta pendorong utama sepanjang pengajiannya di mana kata-kata semangat serta doa yang tidak pernah putus daripada mereka memberikannya kekuatan untuk menamatkan pengajian.

    Dayang Nurul Izzyan berkata dia berpeluang untuk mengerjakan projek tahun akhir di Universiti Putra Malaysia di mana cabaran terbesar yang hadapinya ialah untuk menyiapkan projek berkenaan yang memerlukan banyak tenaga mental dan fizikal.

    “Saya mengatasinya dengan membuat kajian intensif, meminta bimbingan kepada yang lebih pakar dan bijak membahagikan masa dalam makmal.”

    Manakala itu, bagi Awang Muhammad Daniel cabaran utama baginya adalah untuk menguruskan masanya dan mengekalkan keseimbangan kerja-kehidupan yang sihat.

    Beliau akui bahawa bukannya mudah untuk mengimbangi tanggungjawab akademik seperti menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan sambil juga meluangkan masa bermakna dengan keluarga, rakan dan dirinya.

    “Paling penting, saya belajar bahawa mengutamakan kesejahteraan fizikal dan mental adalah penting.

    “Apabila awda menjaga diri awda, awda bukan sahaja menunjukkan prestasi yang lebih baik dari segi akademik tetapi juga menikmati perjalanan dengan lebih memuaskan”
    Ketika mengulas mengenai pengalaman di UTB yang membentuk dirinya dari segi akademik, akhlak dan kemahiran kepimpinan, Dayang Nurul Izzyan berkata UTB bukan sahaja menyediakan pembelajaran dari segi teori tetapi juga melalui lawatan-lawatan ke industri pertanian dan agrimakanan yang mendedahkannya kepada dunia luar serta memberikan pengalaman berharga untuk kerjaya pada masa hadapan.

    “Sepanjang berada di UTB, saya turut mengukuhkan sifat berdikari, kepimpinan, dan kemahiran hidup.”

    Bagi Awang Muhammad Daniel kurikulum UTB bukan sahaja menyediakannya dengan asas akademik yang kukuh tetapi juga melatihnya untuk berfikir secara kritis dan memanfaatkan ilmu pengetahuan yang dipelajari ke dalam keadaan dunia sebenar di mana tugasan yang diberikan membantunya untuk memperhalus lagi kemahiran menulis serta penyelidikannya.

    “Di luar bidang akademik, UTB mengajar saya nilai-nilai disiplin diri, integriti, kebolehsuaian, dan ketabahan dalam menghadapi cabaran.”

    Tambahnya lagi, “Dari segi kepimpinan, saya belajar bagaimana untuk bekerjasama dengan rakan sebaya, mengagihkan tugas, membimbing orang lain dan mengambil tanggungjawab melalui pelbagai projek kumpulan.”

    Setelah melalui pengajian dan kini bergelar graduan UTB, Awang Muhammad Daniel menasihati pada pelajar yang masih meneruskan pengajian di UTB untuk jangan sekali-kali berputus asa.

    Beliau berkata jika mereka berhadapan dengan kesukaran, janganlah ia dipendamkan, adalah amat penting bagi mereka untuk mendapatkan sokongan daripada keluarga, rakan atau tutor mereka.

    “Jangan pernah berputus asa dengan kemunduran dan sentiasa tabah. Menjaga kesihatan fizikal dan mental awda adalah sama pentingnya dengan pengajian awda dan akan memperkasakan awda untuk mencapai potensi penuh awda.”

    Sementara itu, Dayang Nurul Izzyan berpesan kepada pelajar yang masih meneruskan pengajian di UTB supaya berusaha untuk mendapat pencapaian yang terbaik dan sentiasa menjaga kesihatan fizikal dan mental diri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda