SIBU, 4 JUN – Dua individu yang dilaporkan hilang di dua sungai di negeri ini pada semalam dan Isnin ditemukan lemas hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa pertama seorang lelaki dikenali Alexsen Gindi, 24, ditemukan orang awam dan keluarga mangsa pada 9:10 pagi tadi kira-kira lima meter dari tebing Sungai Tatau berdekatan Rumah Panjang Enjan di Tatau, Bintulu.
Beliau berkata sebelum penemuan itu, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai berkenaan dan panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 10:12 malam semalam.
“Mangsa kedua pula merupakan remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama abang serta tiga rakan di Sungai Katibas berdekatan Rumah Panjang Robert, Nanga Bajor di Song dalam Bahagian Kapit pada 2 Jun.
“Mayat Puteri Nazatul Akmal Zulkarnain ditemukan di tebing sungai pada 10:44 pagi tadi pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah panjang berkenaan,” kata jurucakap itu.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama
