Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 2 Okt – Seorang lelaki berbangsa Iban dan wanita warga Filipina masing-masing mengucapkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serba guna Pejabat Bahagian Dakwah, Daerah Belait, di sini.
Patrict Marcus Anak Jochny, 21 yang sebelum ini beragama Kristian telah memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Shahrol Nizam Afiq bin Abdullah Jochny sementara Arien Otig Calicdan, 45 yang sebelum ini beragama Katolik telah memilih nama Islamnya sebagai Jasmin binti Abdullah Calicdan.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah seterusnya acara pengislaman yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada kedua-dua saudara baru yang diraikan yang disempurnakan oleh Penolong Ketua Bahagian Dakwah, Hajah Salimah binti Haji Hassan dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait telah mencatatkan seramai 58 orang memeluk agama Islam sejak 1 Januari hingga 28 September tahun ini, manakala pada tahun lalu jabatan itu mencatatkan sejumlah 110 orang saudara baru.
Sehingga kini, jabatan berkenaan telah mencatatkan bangsa Iban yang tertinggi telah memeluk agama Islam sejak Januari tahun ini, manakala keduanya ialah warga Filipina seramai 11 orang.
Jabatan itu menjelaskan setiap Mualaf yang baru memeluk agama Islam adalah dikehendaki mengikuti kursus yang dianjurkan Pusat Dakwah Islamiah, iaitu Kursus Bimbingan Pengenalan Islam selama 10 hari dan selama 14 hari yang diadakan di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, seterusnya Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 1 dan 2 diadakan secara berasrama di Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie, Daerah Brunei dan Muara.