MADRID, 9 NOV – Antoine Griezmann masuk dari bangku simpanan dan menjaringkan dua gol untuk Atletico Madrid bagi membantu pasukannya menewaskan Levante 3-1 dalam La Liga, kelmarin.
Rojiblancos melonjak sementara di tempat ketiga di atas Villarreal, yang akan berkunjung ke Espanyol dengan harapan untuk menduduki tempat kedua dengan kemenangan.
Pendahulu La Liga, Real Madrid, akan bertandang ke ibu negara untuk menentang Rayo Vallecano hari ini manakala juara, Barcelona, akan bertandang ke Celta Vigo.
Atletico meneruskan rentetan keputusan baik mereka dalam La Liga hasil impak penyerang veteran, Griezmann, pada separuh masa kedua dalam kemenangan yang sukar.
Gol sendiri Adrian de la Fuente meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan di stadium Metropolitano tetapi Levante menyamakan kedudukan menerusi Manu Sanchez.

Penjaring terbanyak Atletico, Griezmann, masuk selepas sejam dan menjaringkan dua gol untuk mendapatkan tiga mata penuh pasukannya.
“Kadang-kadang sukar bagi kami untuk mencari penyelesaian dalam perlawanan, tetapi kami yang masuk dari bangku simpanan sentiasa memberi rangsangan,” kata Griezmann kepada Movistar.
“Pasukan yang pergi jauh dalam semua pertandingan berbuat demikian kerana mereka mempunyai kesungguhan dan kami semua perlu bersedia, sama ada mereka yang memulakan dan mereka yang berada di bangku simpanan.”
Griezmann hanya memulakan satu daripada lima perlawanan terakhir Atletico dalam semua pertandingan, dengan Julian Alvarez dan Alexander Sorloth sering diutamakan di barisan hadapan oleh jurulatih, Diego Simeone. – AFP

