Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua jenama berus didapati diperbuat daripada bulu khinzir

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Berus jenama Bannou Cake dan berus kasut berlabel Berus Jerman yang dijual di premis-premis perniagaan di negara ini telah diarahkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah diasingkan kerana telah disahkan positif diperbuat daripada bulu haiwan khinzir.

    Berus berkenaan terdahulu telah dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan untuk dianalisis.

    Bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syariah menyarankan para pemilik dan pengurus premis-premis perniagaan untuk mengasingkan semua berus tersebut dengan serta-merta daripada penjualan kepada orang awam.

    Di samping itu, pengguna beragama lslam di negara ini dinasihatkan supaya tidak membeli dan menggunakan berus tersebut.

    Dalam pada itu, KHEU ingin mengingatkan pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk yang halal dan suci tidak bercampur dengan yang tidak halal. Ini demi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini daripada terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal.

    Bagi mereka yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai sebarang penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan di negara ini, orang ramai boleh berhubung terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah, Bahagian Kawalan Makanan Halal dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

    Envato

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda