Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua jet ski pantau keselamatan

    KUCHING, 27 Ogos – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima akan menugaskan dua buah jet ski bersama empat anggota untuk membuat rondaan di perairan Tebingan Sungai Kuching pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum.

    Dalam satu kenyataan, Komander PPM Wilayah Lima ACP Salehuddin Mat Zaman berkata rondaan bermula 9 pagi hingga 6 petang itu antara lain bertujuan memastikan pengusaha bot penumpang mematuhi peraturan Ordinan Sungai Sarawak (SRO).

    “Kehadiran anggota dan jet ski ini akan menambah keyakinan pelancong (bahawa) keselamatan mereka di perairan tersebut sentiasa di pantau polis marin.

    Penugasan ini juga bertujuan menunjukkan kehadiran polis marin “omipresence” (sentiasa ada) di tempat tumpuan pelancong di kawasan perairan Sarawak selain menyedarkan pengguna maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri bila berada di perairan,” katanya. Salehuddin berkata penugasan tersebut juga akan mempercepatkan masa tindak balas bagi bantuan mencari dan menyelamat (SAR) jika berlaku insiden di perairan Sungai Sarawak.

    Beliau turut menasihatkan pengusaha bot penambang dan bot persiaran bagi menyusuri sungai secara santai di Tebingan Sungai Kuching supaya mematuhi peraturan ditetapkan SRO sepenuhnya demi keselamatan pelancong serta penumpang mereka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda