JAKARTA, 8 JULAI – Dua jurulatih dari Malaysia telah disahkan menyertai kelab bola sepak Persis Solo sebagai langkah strategik untuk memperkukuh barisan kejurulatihan kelab Liga 1 Indonesia menjelang musim 2025/2026.
Mohamad Zulhazman Zulazwar dilantik sebagai penolong jurulatih. Manakala, Khairulanwar Mohd Isa sebagai jurulatih kecergasan, susulan pelantikan Peter de Roo sebagai ketua jurulatih pada 27 Jun lepas.
Penganalisis perlawanan dan pemegang lesen kejurulatihan AFC ‘A’, Mohamad Zulhazman pernah berkhidmat bersama Kedah FA, Selangor FC, skuad kebangsaan Malaysia dan kelab Police Tero FC di Thailand.
Beliau pernah bekerja dengan Peter de Roo semasa de Roo berkhidmat sebagai pengarah teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menurut kelab menerusi hantaran di platform X.
“Saya berbesar hati menyertai Persis dan kembali bekerjasama dengan Coach Peter. Saya percaya dengan visi kelab ini dan bersedia memberikan komitmen penuh,” kata Zulhazman.
Khairulanwar, yang berpengalaman dalam bidang kecergasan dan sains sukan bersama Selangor FC, Felcra FC dan Kuala Lumpur City FC, kini memulakan penampilan profesional pertamanya di luar negara.
“Saya teruja menyertai Persis. Ini adalah cabaran baharu dan saya bersedia menyesuaikan diri dengan budaya bola sepak Solo,” katanya. – Bernama
