Wednesday, September 18, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua juta dos vaksin mpox sedia dibekal hujung tahun ini

    COPENHAGEN, 12 SEPT – Syarikat pengeluar ubat Denmark, Bavarian Nordic, hari ini mengumumkan bahawa pihaknya akan membekalkan tambahan dua juta dos vaksin mpox menjelang penghujung tahun ini.

    Menurut kenyataan syarikat itu, pengeluaran vaksin ditingkatkan sebagai tindak balas kepada permintaan tinggi daripada pelbagai kerajaan dan organisasi antarabangsa berikutan penularan wabak mpox. Republik Demokratik Congo (DRC), yang kini menjadi pusat wabak, telah menerima penghantaran vaksin pertama, baru-baru ini.

    “Bavarian Nordic telah memberikan keutamaan pengeluaran vaksinnya bagi memenuhi keperluan mendesak dalam menangani penularan ini,” kata syarikat tersebut dalam kenyataan rasmi.

    Vaksin mpox itu merupakan satu-satunya vaksin yang telah dilesenkan di Eropah dan Amerika Syarikat. Bavarian Nordic turut memaklumkan bahawa mereka bersedia untuk menghasilkan sehingga 11 juta dos menjelang 2025.

    Data terkini dari Institut Kesihatan Awam Congo mencatatkan hampir 22,000 kes dan 716 kematian berkaitan virus tersebut sejak Januari.

    Pada akhir bulan lalu, virus mpox telah dikenal pasti di 14 negara Afrika, termasuk 796 kes di Burundi, 162 di Congo-Brazzaville dan 45 di Republik Afrika Tengah.

    Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC) menyatakan bahawa sebanyak 3.6 juta dos vaksin telah diperoleh untuk negara-negara Afrika, dengan kumpulan pertama vaksin telah diedarkan. Setakat ini, 265,000 dos telah dihantar ke Kinshasa untuk diagihkan sebagai persediaan kempen vaksinasi bulan hadapan. – AFP

    Beberapa pegawai memeriksa vaksin MVA-BN, vaksin mpox yang dikeluarkan oleh Bavarian Nordic, di lapangan terbang di Kinshasa, Congo, pada 5 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda