Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua kali gagal, Bayern mahu bangkit

    BERLIN, 4 OKT – Bayern Munich akan bertandang ke gelanggang Eintracht Frankfurt Ahad ini dalam usaha memperbaiki prestasi setelah kehilangan mata dalam dua perlawanan berturut-turut.

    Pasukan bimbingan Vincent Kompany itu memulakan musim dengan cemerlang apabila mencatat enam kemenangan berturut-turut, namun dikekang 1-1 oleh juara bertahan Bayer Leverkusen dalam saingan Bundesliga pada Ahad lalu.

    Kekalahan 1-0 kepada Aston Villa dalam perlawanan Liga Juara-Juara pada Rabu lalu menambah tekanan ke atas gergasi Jerman tersebut.

    Frankfurt, yang menikmati permulaan musim yang cemerlang, kini hanya satu mata di belakang Bayern, yang masih menduduki tangga teratas liga.

    Rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak kebelakangan ini adalah seimbang, dengan setiap pasukan memenangi tiga perlawanan daripada tujuh pertemuan terakhir, sementara satu lagi berakhir dengan keputusan seri.

    Dalam pertemuan musim lalu, Frankfurt mengejutkan Bayern dengan kemenangan 5-1, yang sekali gus mendedahkan kelemahan ketara dalam pasukan Munich, yang akhirnya mengakhiri musim tanpa sebarang trofi.

    Perlawanan antara kedua-dua pasukan sering mencetuskan kejutan, dengan hasil yang tidak dijangka dan penuh dengan aksi.

    Salah satu perlawanan yang paling dikenang adalah kemenangan Frankfurt 3-1 dalam final Piala Jerman 2018, yang menyaksikan Bayern kemudian mengambil jurulatih Frankfurt, Niko Kovac. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda