Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua kanak-kanak cedera ditikam pisau di sekolah

    PRAGUE, 3 SEPT – Polis Czech berkata dua kanak-kanak cedera dalam serangan pisau oleh seorang murid di sebuah sekolah rendah di bandar barat Domazlice, hari ini.

    Polis berkata melalui platform media sosial X bahawa murid itu telah ditahan dalam beberapa minit dan nyawa dua kanak-kanak terbabit tidak terancam.

    “Seorang murid perempuan menyerang rakan sekolahnya dengan pisau. Dua kanak-kanak cedera dan ibu bapa mereka telah dimaklumkan,” kata polis.

    “Kedua-dua kanak-kanak yang cedera, yang nyawa mereka tidak terancam, sedang menjalani rawatan, sama seperti kanak-kanak lain yang dalam keadaan terkejut,” tambah mereka.

    Gabenor wilayah, Rudolf Spotak kemudiannya memberitahu pemberita bahawa kedua-dua kanak-kanak itu telah diletakkan dalam penjagaan rumah dan kecederaan mereka tidak serius.

    Gambar Freepik

    Serangan berlaku pada hari kedua tahun persekolahan. Domazlice terletak berhampiran sempadan barat Republik Czech dengan Jerman.

    Tabloid Blesk berkata suspek berusia 13 tahun itu telah menikam seorang budak lelaki di perut dan seorang perempuan di belakang.

    Ketua polis wilayah, Petr Machacek berkata motif kanak-kanak itu tidak diketahui.

    Timbalan Datuk Bandar, Domazlice Viktor Krutina memberitahu pemberita serangan itu berlaku sejurus sebelum sekolah bermula.

    “Disebabkan reaksi pantas seorang guru dan guru besar, tiada lagi serangan berlaku di tempat lain di dalam bangunan itu,” katanya.

    Guru Besar, Ivan Rybar berkata suspek menyerang rakan sekolahnya di sebuah bangunan untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.

    Ivan Rybar menambah bahawa suspek tersebut adalah warga Czech dan tidak pernah menghadapi masalah disiplin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda