Saturday, July 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua kanggaru terlepas dari kandang cetus operasi rentas sempadan

    BRUSSELS, 25 JULAI – Dua ekor kanggaru yang terlepas dari kandang mencetuskan operasi pencarian rentas sempadan di antara Belgium dan Perancis, apabila pihak polis dan bomba bertungkus-lumus memburu haiwan marsupial itu sejak hujung minggu lalu.

    Salah seekor haiwan berkenaan berjaya ditangkap oleh pasukan bomba di sebuah kawasan perumahan berhampiran bandar Lille di utara Perancis Selasa malam. Bagaimanapun, seekor lagi masih belum ditemui sehingga tengah hari kelmarin.

    Menurut polis tempatan Mouscron, kejadian itu berlaku semasa pemilik kanggaru berkenaan sedang bercuti di luar negara dan menyerahkan tanggungjawab menjaga kanggaru tersebut kepada jiran.

    Jurucakap polis Mouscron berkata pihaknya tidak menjalankan pencarian secara menyeluruh tetapi bergantung kepada maklumat orang awam yang melihat haiwan tersebut.

    Rakaman video kanggaru terlepas yang berkeliaran di kawasan bandar dan hampir dilanggar kenderaan turut tular di media sosial.

    Bomba daerah Nord Perancis memaklumkan pihaknya mengambil masa dua jam untuk memerangkap kanggaru tersebut menggunakan jaring keselamatan sebelum ia dibawa pulang ke Belgium. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda