KAHERAH, 23 OGOS – Dua kapal tangki yang membawa produk minyak dan gas asli cecair berlanggar di Terusan Suez, menjejas lalu lintas melalui jalan air global itu, kata pihak berkuasa Mesir, hari ini.
Pihak berkuasa Terusan Suez berkata dalam satu kenyataan bahawa BW Lesmes, sebuah kapal tangki berdaftar di Singapura yang membawa gas asli cecair, mengalami kerosakan mekanikal kelmarin dan terkandas semasa transit melalui terusan itu.
Burri, sebuah kapal tangki produk minyak dengan bendera Pulau Cayman, bertembung dengan kapal yang rosak itu. Perlanggaran telah menjejas lalu lintas, kata kenyataan.
Kedua-dua kapal tangki itu merupakan sebahagian daripada konvoi yang sedang melalui jalan dari Laut Mediterranean ke Laut Merah.
“Kami dengan segera telah mengendalikan kerosakan dan lalu lintas akan kembali normal di kedua-dua arah dalam beberapa jam akan datang,” kata ketua pihak berkuasa terusan, Laksamana Ossama Rabei, dalam kenyataan itu. – AP


