Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Dua kejadian kebakaran kereta telah dilaporkan di lokasi berasingan baru-baru ini, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kedua-dua kejadian berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, satu kejadian berlaku di Jalan Telanai sebelum Taman Persiaran Damuan pada pukul 5:25 petang di mana sebuah kereta SUV ranap dijilat api dan kebakaran berjaya dipadamkan oleh anggota bomba dalam masa lima minit.
Operasi memadamkan kebakaran berkenaan melibatkan 10 anggota bomba yang diketuai oleh SO Haji Abdul Rahman dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan.
Manakala itu, kejadian berlaku pada pukul 7:29 malam di Lebuhraya Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dari Katok menuju Jalan Telanai.
Enam orang anggota bomba yang di ketuai oleh DSO Mohd Arfan dari Balai Bomba Beribi telah dikerahkan ke tempat kejadian.
Api berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba di tempat kejadian.
Kenyataan menyatakan bahawa punca dan kerugian dalam kedua-dua kejadian berkenaan masih dalam siasatan.
Sehubungan itu, JBP mengingatkan orang ramai supaya sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran kereta di samping memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah.
Sementara itu, bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan hubungi talian kecemasan 995 dan berikan maklumat yang tepat.
