Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Dua ketua keluarga mangsa kebakaran rumah di Jalan Pasir Berakas, Kampung Lambak dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Kampung Lambak Kiri telah menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), hari ini.
Penyerahan bantuan kewangan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohamad pada majlis yang berlangsung di Bilik Kunjungan, Bangunan KKBS.
Penerima bantuan ialah Pengiran Shahdir bin Pengiran Haji Mohd Tahir dan Haji Mohd Khairul bin Haji Emran.
Menurut kenyataan KKBS, kejadian kebakaran pada 26 Jun lalu telah meranapkan keseluruhan rumah milik Haji Mohd Khairul.
Manakala rumah milik Pengiran Shahdir telah mengalami kerosakan pada sebahagian kediamannya, namun tiada sebarang kecederaan berlaku semasa kejadian.
Penyerahan bantuan kewangan berkenaan adalah bagi meringankan kesusahan mangsa-mangsa untuk meneruskan kehidupan seharian sekali gus sebagai salah satu usaha keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.
