BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perintah bagi pertukaran nama Kementerian Kewangan kepada Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan kepada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Berikutan dengan pertukaran nama kementerian tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga telah mengurniakan titah perintah bagi pelantikan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menjadi Timbalan Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Baginda seterusnya juga telah mengurniakan titah bagi pelantikan dan pertukaran beberapa orang pegawai kanan iaitu Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani ditukar ke Kementerian Kewangan dan Ekonomi sebagai Setiausaha Tetap (Prestasi dan Korporat).
Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dilantik menjadi Setiausaha Tetap (Pelaburan) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan, Dr Hajah May Faezah binti Haji Ahmad Ariffin dilantik menjadi Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Haji Adanan bin Haji Mohd Jaafar dilantik menjadi Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke luar negeri.
Pemangku Pengarah Protokol, Pengiran Haji Saiful Rizal bin Pengiran Haji Razali dilantik menjadi Timbalan Setiausaha tetap (Pentadbiran dan Protokol) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Pemangku Pengarah Pentadbiran, Pengiran Indera Jaya bin Pengiran Haji Shamsu dilantik menjadi Timbalan Setiausaha tetap (Keselamatan dan ICT) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Pengarah Jabatan Asia, Afrika, Hajah Norazlianah binti Haji Ibrahim dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Pertubuhan-pertubuhan Antarabangsa) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Pemangku Pengarah Jabatan Politik, Pengiran Norhashimah binti Pengiran Mohd Hassan dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Politik) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Timbalan Setiausaha Tetap (Pertubuhan-pertubuhan Antarabangsa) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Haji Mohd Yusra bin Haji Mohd Salleh ditukar ke Kementerian Hal Ehwal Ugama sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan.
Timbalan Setiausaha Tetap (Politik) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Hajah Mardiana binti Haji Omar ditukar ke Kementerian Pembangunan sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan.
Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Hajah Nor Ashikin bin Haji Johari ditukar ke Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan.
Sementara itu, Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, KKBS, Pengiran Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak dilantik menjadi Setiausaha Tetap di KSSUP dan Pengarah Perikanan, KSSUP, Haji Halidi bin Haji Mohd Salleh dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP.