Monday, April 28, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua kemudahan radiasi dilancar

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Dalam komitmen berterusan bagi memperkasa usaha perlindungan radiasi serta persediaan kecemasan di negara ini, Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) melancarkan dua kemudahan yang berkaitan iaitu Makmal Perkhidmatan Dosimetri Radiasi dan Stesen Pemantauan Kadar Dos Radiasi Gamma, hari ini.

    Majlis perasmian kemudahan berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Pengerusi Lembaga Pengarah SHENA.

    Majlis diadakan bersempena dengan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2025 yang disambut pada 28 April setiap tahun.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Haji Muhsin bin Haji Ahmad menyatakan pelancaran dua kemudahan radiasi berkenaan merupakan mercu tanda yang signifikan dan langkah penting ke hadapan dalam meningkatkan perlindungan radiasi di Negara Brunei Darussalam.

    Sebagai negara ahli Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) semenjak 2014, Negara Brunei Darussalam terus mendapat manfaat daripada projek-projek kerjasama teknikal serta sokongan daripada agensi-agensi yang berkaitan.

    Penubuhan dua kemudahan itu merupakan satu lagi inisiatif SHENA ke arah memastikan perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap pekerja-pekerja radiasi, orang awam dan alam sekitar di Negara Brunei Darussalam.

    Makmal Perkhidmatan Dosimetri Radiasi berperanan sabagai pusat perkhidmatan pemantauan tahap pendedahan radiasi kepada para pekerja dan kawasan kerja yang melibatkan penggunaan sinaran radiasi.

    Sementara itu, Stesen Pemantauan Kadar Dos Radiasi Gamma berperanan sebagai sistem pemantauan sinaran radiasi untuk mengelola risiko sinaran gamma melalui deteksi yang boleh dikesan di kawasan persekitaran dan seterusnya memberikan peringatan awal sekiranya berlaku sebarang peningkatan kadar radiasi yang luar biasa, sekali gus membolehkan pengesanan dan tindakan pantas yang boleh diambil sekiranya berlaku insiden nuklear atau radiologi di rantau ini.

    Kedua-dua kemudahan itu memperkukuhkan komitmen SHENA dalam meningkatkan keupayaan pengawal seliaan serta kesiapsiagaan terhadap keselamatan radiasi dan tindak balas kecemasan.

    Gamma Dose Rate Monitoring Station (GDRMS). – Gambar oleh Muiz Matdani
    Tetamu kehormat semasa mengunjungi bilik-bilik Radiation Dosimetry Service Lab (RDSL). – Gambar oleh Muiz Matdani
    Bilik Radiation Dosimetry Service Lab (RDSL). – Gambar oleh Muiz Matdani

    Bilik Radiation Dosimetry Service Lab (RDSL). – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda