BEIJING, 16 OGOS – Dua kes COVID telah mencetuskan huru-hara di Shanghai dengan orang ramai berlari meninggalkan bangunan dan sebuah gedung beli-belah Ikea kerana enggan berkurung di bawah perintah koronavirus yang ketat di China.
Strategi sifar COVID negara itu termasuk perintah berkurung dan kuarantin, kadangkala disebabkan oleh jumlah kes yang sedikit, dan langkah tersebut mencetuskan kegelisahan dan kemarahan awam di beberapa buah bandar.
Video yang tular di media sosial dan disahkan oleh AFP menunjukkan sekumpulan kecil kakitangan yang memakai peralatan pelindungan diri (PPE) cuba menutup pintu utama sebuah bangunan di Shanghai pada Jumaat selepas seorang pekerja didapati menjadi kontak rapat kes COVID.
Orang ramai kemudian dilihat berlari melepasi anggota berkenaan dan meluru keluar daripada bangunan, dan ada yang merakam kejadian itu di telefon bimbit mereka.
Beberapa orang dilihat mengheret sesuatu seperti penghadang besi sejauh beberapa meter ketika mereka melarikan diri dari pusat membeli-belah itu.

Kontak rapat akan dikenakan kuarantin selama berhari-hari dan dipantau di bawah peraturan kesihatan China.
Kejadian serupa berlaku di gedung Ikea di daerah Xuhui, Shanghai pada Sabtu, apabila pihak berkuasa kesihatan cuba mengurung pelanggan di gedung itu disebabkan oleh keputusan ujian yang ‘luar biasa’.
Klip video yang dikongsikan dalam talian menunjukkan sekumpulan besar orang cuba meninggalkan tempat itu.
Dalam satu kejadian, kedengaran jeritan ketika kakitangan cuba mengurung pelanggan yang cuba keluar. Namun orang ramai akhirnya berjaya menolak pintu dan berlari meninggalkan kawasan itu.
Shanghai mempunyai penduduk seramai 25 juta orang dan merupakan bandar terbesar China. Bandar itu dikenakan peraturan COVID yang ketat sejak awal tahun ini, apabila ia ditutup selama dua bulan bagi membendung penularan. – AFP