Dua kes import baharu dicatatkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Dua lagi kes import baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada seramai 221 orang.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hariannya menjelaskan bahawa kes 220 ialah seorang lelaki berumur 39 tahun yang tiba ke negara ini dari Mesir melalui Kuala Lumpur pada 7 April 2021.

Penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes ini memandangkan beliau telah dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini dan keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan dan pengasingan diri mereka telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

Manakala itu, kes 221 ialah seorang lelaki berumur 35 tahun yang merupakan suami kepada kes 215. Kedua-dua mereka telah menjalani pengasingan diri di sebuah pusat pengasingan sebaik saja tiba ke negara ini pada 24 Mac 2021.

Apabila kes 215 disahkan positif bagi virus SARS-Cov-2 pada 7 April yang lalu, suami beliau telah didapati negatif bagi virus tersebut. Walau bagaimanapun, beliau telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan seterusnya menjalani ujian rutin pada 12 April lalu. Beliau tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan.

Kenyataan turut menyatakan bahawa tiada kes sembuh telah dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang aktif kepada 12 kes dan kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan mengongsikan bahawa seramai 6,638 orang telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat 13 April sejak kempen vaksinasi bermula pada 3 April lalu.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (343 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 80 kes.

Kenyataan turut mengongsikan bahawa seramai 517 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala seramai 16,649 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 210 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 117,497 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.