Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Dua kes jangkitan COVID-19 dilaporkan sembuh dan menjadikan jumlah kes sembuh kepada 231 orang dengan tujuh kes aktif sedang dirawat.
Di samping itu, tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan dan jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kekal 241 orang. Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei 2020 iaitu 387 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah 100 kes.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam sehingga pukul 12 tengah hari, jumlah mereka yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori ialah seramai 652 orang dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah seramai 18,923 orang.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 559 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 127,823 ujian.