Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua kes kematian akibat COVID-19 direkodkan – Lukanisman

    KUALA LUMPUR, 21 OGOS – Malaysia merekodkan dua kes kematian akibat COVID-19 setakat Minggu Epidemiologi ke-33 (ME-33) tahun ini, berbanding 58 kes kematian dilaporkan sepanjang tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

    Beliau berkata, hingga 16 Ogos lepas, sebanyak 41,814 kes COVID-19 telah dilaporkan di seluruh negara berbanding 83,018 kes dalam tempoh sama tahun lepas, dengan kebanyakan kes bergejala ringan.

    “Selari dengan situasi global, terdapat peningkatan kes di negara ini bermula 6 April 2025.

    Peningkatan kes dikaitkan perubahan subvarian dengan kebanyakan kes bergejala ringan dan vaksin sedia ada masih mampu memberikan perlindungan terhadap subvarian ini.

    “Tahap ancaman varian COVID-19 terkini terhadap golongan berisiko adalah rendah dan terkawal kerana Malaysia kini berada dalam fasa hidup bersama COVID-19, iaitu penyakit itu dikendalikan sebagai sebahagian daripada jangkitan saluran pernafasan seperti influenza dan jangkitan virus yang lain,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu tahap ancaman varian COVID-19 yang terkini kepada golongan berisiko tinggi memandangkan negara mencatatkan kematian pertama pada tahun ini.

    Sehubungan dengan itu, beliau berkata KKM sentiasa memantau situasi semasa COVID-19 di dalam dan luar negara, termasuk pelaksanaan penjujukan genomik bagi mengesan kewujudan varian atau subvarian baharu yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

    Beliau berkata pemberian vaksin COVID-19 secara sukarela dan percuma diteruskan di fasiliti kesihatan terpilih dan KKM terus menyalurkan maklumat dan syor terkini berdasarkan penilaian risiko semasa.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai status vaksinasi dua kes kematian yang direkodkan tahun ini, Lukanisman memaklumkan, kedua-dua individu terbabit tidak menerima vaksin COVID-19 yang terkini. – Bernama

    Datuk Lukanisman Awang Sauni berucap semasa Mesyuarat Kedua, Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 21 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda