Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua Korea mula ‘perjalanan baharu’

    SEOUL, 30 Nov – Sebuah kereta api yang membawa para pegawai dan jurutera Korea Selatan memasuki sempadan Korea Utara hari ini bagi memulakan tinjauan bersama untuk menghubungkan semula laluan kereta api antara kedua-dua buah negara Korea itu.

    Menghubungkan sistem laluan kereta api merupakan salah satu perjanjian yang dibuat awal tahun ini dalam satu pertemuan penting antara pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in.

    Langkah tersebut merupakan yang pertama dalam tempoh satu dekad di mana sebuah kereta api dari Selatan memasuki Korea Utara.

    Sebahagian rakaman TV yang disiarkan hari ini menunjukkan sebuah kereta api berwarna merah, putih dan biru mempamerkan kain rentang dengan tulisan ‘Kuda Besi kini menuju ke arah era keamanan dan kemakmuran’ dilihat meninggalkan stesen Dorasan milik Korea Selatan, terminal terdekat dari bahagian barat sempadan antara Korea.

    “Ini mengisyaratkan permulaan kemakmuran Korea Utara dan Selatan dengan menghubungkan semula laluan kereta api,” kata menteri pengangkutan, Kim Hyun-mee.

    Tambahnya, menghubungkan semula laluan kereta api akan membantu meningkatkan ‘sempadan ekonomi’ negara ke Eurasia menerusi darat, tatkala pembahagian semenanjung Korea telah menyebabkan Korea Selatan secara geopolitik terpisah dari benua itu selama berdekad-dekad.

    Kereta api enam gerabak itu membawa 28 orang warganegara Korea Selatan termasuklah beberapa orang jurutera kereta api dan kakitangan lain dan membawa 55 tan minyak dan penjana elektrik.

    Kereta api berkenaan memiliki sebuah koc penumpang, koc tidur, koc pejabat, gerbong yang dimuatkan dengan air untuk mandi dan mencuci pakaian. – AFP

    Para pakar dari Korea Selatan bersedia untuk mengadakan perjalanan merentasi sempadan ke Korea Utara di stesen Dorasan, Paju, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda