THE HAGUE, 26 APRIL – Pihak berkuasa Belanda hari ini menutup dua ladang mink di selatan Belanda
selepas ujian menunjukkan haiwan berkenaan telah dijangkiti koronavirus, kemungkinan besar daripada kontak manusia.
Ladang itu terletak di timur Eindhoven di wilayah Northern Brabant, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas oleh wabak yang membunuh lebih daripada 4,400 orang dan menjangkiti 37,000 yang lain dalam negara.
“Haiwan mink menunjukkan pelbagai gejala penyakit termasuk kesukaran bernafas,” kata kementerian pertanian Belanda dalam satu kenyataan.
Ujian menunjukkan haiwan berbulu itu menderita daripada COVID-19.
“Memandangkan beberapa pekerja di perniagaan itu mempunyai gejala koronavirus, dipercayai mereka telah menyebarkannya kepada haiwan,” kata kementerian.
Sampel sebelumnya menunjukkan haiwan itu ‘mudah terdedah kepada virus,’ tambahnya.
“Buat masa sekarang, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan haiwan ternakan memainkan sebarang peranan dalam penularan COVID-19, dan tidak timbulnya risiko jangkitan virus akan tersebar semula kepada manusia,” kata kementerian. – AFP
