NEGOMBO, Sri Lanka, 6 Mei – Dua orang telah ditahan dan satu perintah berkurung semalamam dibatalkan hari ini setelah perusuh menyerang kedai milik penduduk Islam dan beberapa kenderaan di bandar Sri Lanka di mana pengeboman berani mati mensasarkan sebuah gereja Katolik pada bulan lalu.
Penduduk di bandar tepi pantai Negombo berkata penyerang beragama Katolik melontar batu dan merosakkan kedai-kedai. Masih tidak jelas bagaimana perbalahan berlaku tetapi kebanyakan penduduk berkata satu pertengkaran peribadi berubah menjadi ganas, yang berbaur agama.
Jurucakap polis Ruwan Gunasekara berkata sebelumnya bahawa keganasan berjaya dikawal dan dua orang telah ditahan.
A.M. Jeffry, seorang penduduk Islam dari kampung Porutota berhampiran Negombo, berkata penyerang membakar teksi tiga roda dan sebuah motosikal.
Rizwan Jeffry, penjual batu permata yang tidak mempunyai kaitan dengan A.M. Jeffry, berkata kira-kira 400 orang mengamuk di jalan raya dan melontar batu pada kedainya. Ada di antara mereka mengambil batu berharga yang disimpan dalam almari perhiasan, katanya.
Ketua Biskop Colombo Cardinal Malcolm Ranjith bersama ulama Islam melawat kawasan tersebut hari ini untuk merayu penduduk supaya bertenang.
Kerajaan menyekat beberapa laman media sosial semalaman, termasuk Facebook dan WhatsApp, “demi mengawal keadaan,” kata pengarah jabatan maklumat Nalaka Kaluwewa. Sekatan dibatalkan pada awal hari ini.
Pertempuran pertama dilaporkan sejak pengeboman Easter oleh pelampau Islam dua minggu lalu yang membunuh lebih daripada 250 orang.
Keadaan darurat telah dikenakan sejak itu, dengan amaran lebih banyak serangan mungkin berlaku.
Gereja Katolik ditutup untuk hujung minggu kedua, dan penduduk beragama Islam dikawal oleh anggota keselamatan dan terdedah kepada komen benci di media sosial.
Jurucakap tentera Sumith Atapattu berkata semalam beberapa orang telah cedera dalam pertempuran di Negombo, di mana Gereja St Sebastian disasarkan dalam serangan yang dilancarkan oleh pengebom yang telah berjanji untuk menyokong kumpulan Islamic State. – AP