CHUKAI, 6 JULAI – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) percaya dua lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, di sini, Sabtu lalu, masih berada di kawasan pencarian Zon A dan B.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan II, Azman Alias, berkata operasi SAR hari kelima yang bermula 9 pagi tadi tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.
Dua lagi mangsa yang belum ditemui ialah Putri Nor Fatin, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.
“Operasi SAR hari ini, kita dah meliputi keseluruhan pencarian dari sektor A, B dan C. Kita sudah melakukan teknik selaman tetapi tidak ada penemuan dan petunjuk baharu yang positif.
“Namun kita percaya (dua mangsa hilang masih) berada di sektor Zon A dan B… ada kemungkinan dalam air dan darat. Kita usaha dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di pusat operasi SAR di Balai Polis Air Putih, di sini, hari ini.
Azman berkata operasi SAR hari ini ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung semula pada 9 pagi esok.
Menurut Azman untuk operasi SAR esok, skala pencarian akan dikecilkan dan dilaksanakan secara lebih berfokus di kawasan yang mempunyai kebarangkalian tinggi menggunakan anjing pengesan K9 dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Lapan lagi mangsa iaitu Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Putri Nurerina Natasya, 10; Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4, sudah ditemui dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan pada Selasa dan Rabu lalu. – Bernama