KUNMING, 25 JULAI – Dua laluan kereta api pengangkutan kargo antarabangsa iaitu ‘Guangdong-Yunnan-Lancang-Mekong’ dan China-Laos-Thailand (Kunming-Bangkok) beroperasi secara rasmi kelmarin dan dipercayai dapat membantu untuk meningkatkan kesalinghubungan antara wilayah Guangdong dan Yunnan di China dengan Asia Tenggara dalam bidang pengangkutan kargo antarabangsa.
Laluan ‘Guangdong-Yunnan-Lancang-Mekong’ yang dibina dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bertujuan membentuk satu saluran logistik berkecekapan tinggi yang bertapak di bahagian selatan dan barat daya China ke Asia Tenggara.
Pelbagai jenis kargo diangkut melalui kedua-dua laluan kereta api itu merangkumi produk elektronik, permesinan dan barang untuk kegunaan harian dari Guangdong serta buah-buahan, getah dan produk perlombongan dari Asia Tenggara.
Menurut rancangan untuk masa hadapan, kedua-dua laluan kereta api itu akan disambungkan dengan Jaringan Kereta Api Kebangsaan China di utara yang mengakses pelbagai hab logistik di Kunming, Guangzhou, Shanghai, Xi’an, Chengdu, Chongqing dan Zhejiang serta boleh dilanjutkan ke Jerman dan Sepanyol melalui Laluan Kereta Api China-Eropah.
Di selatan, laluan itu akan disambungkan dengan pelabuhan di selatan Thailand dan boleh mengakses Malaysia dan Singapura.
Hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dengan Asia Tenggara dijangka menjadi semakin erat dan kondusif bagi kemakmuran dan pembangunan serantau. – Bernama