KUCHING, 30 JUN – Dua lapangan terbang baharu di kawasan luar bandar Sarawak, membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM264.9 juta, akan dibina Ogos ini, sebaik mendapat surat kelulusan untuk memulakan kerja pembinaan diperolehi.
Timbalan Ketua Menteri II, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata pembinaan lapangan terbang baharu di Bukit Mabong, Kapit membabitkan kos RM173.5 juta, manakala satu lagi akan dibina di Bebuling, Spaoh, Betong dengan kos RM91.4 juta.
“Pemilihan Bukit Mabong adalah tepat kerana lokasinya terpencil, dengan populasi kira-kira 50,000 dan masalah aksesibiliti yang signifikan manakala Bebuling dipilih untuk meningkatkan hubungan udara dengan pusat agropolitan utama di Bukit Sadok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain keadaan ekonomi, keselamatan pengguna juga diambil kira sebelum memuktamadkan projek, yang dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun 2023 dan memperluas jaringan perkhidmatan udara luar bandar (RAS) di negeri itu.
“Kerajaan negeri Sarawak sedang berusaha memenuhi komitmen untuk mentransformasikan ekonomi luar bandar dan meningkatkan perhubungan serta keselamatan perkhidmatan udara,” katanya. – Bernama