JAKARTA, 9 SEPT – Dua lelaki warga Britain telah ditahan atas dakwaan menyeludup lebih satu kilogram kokain ke pulau peranginan Bali, Indonesia, kata seorang pegawai hari ini, sekali gus berdepan risiko dengan undang-undang dadah paling keras di dunia.
Indonesia lazimnya menjatuhkan hukuman mati terhadap pengedar dadah, walaupun negara itu tidak melaksanakan hukuman tersebut sejak hampir sedekad lalu.
Ketua Agensi Narkotik Bali, Rudy Ahmad Sudrajat, berkata seorang pegawai keselamatan lapangan terbang menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dikenal pasti dengan inisial K.G. semasa pemeriksaan keselamatan pada Rabu lalu.
Hasil pemeriksaan X-ray kemudiannya menemui kira-kira 1.3 kilogram (2.9 paun) kokain dalam begnya, katanya pada sidang media.
Rudy berkata K.G. telah “diminta oleh seseorang bernama Santos untuk membawa beg itu dari Barcelona ke Bali” dan menyerahkannya kepada seorang lagi warga Britain di sana.
Polis kemudian menahan lelaki kedua, seorang lagi warga Britain yang dikenal pasti sebagai P.E., di sebuah vila di daerah Badung, Bali, pada Khamis.
Menurut Rudy, kedua-dua mereka adalah rakan yang tinggal di Thailand dan bertemu di Barcelona seminggu sebelum ditahan, sambil menambah bahawa terdapat “kemungkinan mereka adalah sebahagian daripada sebuah kartel.”
Puluhan warga asing, termasuk seorang nenek warga Britain yang menyeludup kokain, kini berada di penjara menunggu hukuman mati di Indonesia kerana kesalahan dadah.
Indonesia kali terakhir melaksanakan hukuman mati pada 2016, apabila seorang rakyatnya dan tiga pesalah dadah warga Nigeria dihukum tembak oleh skuad penembak. – AFP


