Wednesday, November 27, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua lelaki cuba seludup barang tegahan ditahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    TEMBURONG, 24 OKT – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berjaya menahan dua orang lelaki tempatan dan merampas barangan tegahan iaitu beberapa kotak rokok dan minuman keras.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, di sini, pasukan dari Balai Polis Bangar telah menjalankan pemantauan di Kampung Bekarut, Jalan Pandaruan Tamada selepas menerima maklumat berhubung kegiatan penyeludupan.

    Semasa pemantauan kira-kira pukul 9 malam, didapati sebuah kenderaan pacuan 4 roda berwarna hitam dipandu dalam keadaan mencurigakan.

    Pihak polis cuba untuk menahan kenderaan tersebut semasa melalui kawasan Kampung Belais, menyebabkan kenderaan tersebut mula memecut dan melarikan diri.

    Pemandu dan penumpang kemudiannya bertindak meninggalkan kenderaan di tengah-tengah jalan dan melarikan diri ke hutan. Walau bagaimanapun kedua-dua suspek dapat dikesan dan ditahan oleh anggota dari Balai Polis Bangar. 

    Kesemua barang-barang tegahan serta suspek telah ditahan di Balai Polis Bangar. Di samping itu juga, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) turut dimaklumkan untuk siasatan lanjut.

    PPDB mengingati orang ramai agar jangan melibatkan diri dengan sebarang aktiviti-aktiviti jenayah dan melanggar undang-undang di negara ini.

    Jika mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah disarankan untuk menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan atau melalui talian kecemasan 993.

      Antara barangan tegahan yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa. – GAMBAR SERAHAN PPBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda