Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Dua orang lelaki tempatan telah diberkas apabila didapati cuba menyeludup barang tegahan dan memiliki barang tegahan dipercayai dadah terkawal, syabu, dalam operasi rondaan yang dijalankan oleh Simpanan C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di dua kawasan berasingan.
Dalam ‘Operasi Langkah’ di jalan tikus, Junjongan Satu, Limau Manis Daerah Brunei dan Muara itu, Muhammad Khairol Faiz bin Awang Bujang, 23, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan didapati cuba menyeludup masuk beberapa karton rokok tegahan.
Manakala itu, Abdul Hafiz bin Haji Muhammad Irwan, 30, yang bekerja di salah sebuah syarikat perkapalan pula didapati memiliki barang tegahan dipercayai dadah terkawal, jenis syabu.
Dalam tangkapan itu juga, pihak polis telah berjaya merampas sejumlah 13 karton rokok pelbagai jenama dan satu paket plastik dipercayai mengandungi dadah terkawal.
Kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Limau Manis dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi siasatan lanjut.
PDB menyeru orang ramai supaya menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah melalui talian 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.