LONDON, 28 APRIL – Sebuah pokok Sycamore yang dahulu berdiri di tengah-tengah antara dua buah bukit di sepanjang Tembok Hadrian telah ditebang secara misteri lebih setahun setengah lalu, menyebabkan kebimbangan dan kesedihan bagi mereka yang menganggapnya sebagai tapak yang suci.
“Kami masih berasa sedih mengenainya,” kata Catherine Cape, yang menguruskan sebuah kabin tetamu kecil berdekatan. “Saya tak boleh lalu di situ. Saya tak sanggup melihat kekosongan itu.”
Cape antara yang akan memberi perhatian minggu ini apabila pendakwa raya di Mahkamah Mahkota Newcastle mula mengemukakan kes terhadap dua lelaki yang didakwa menumbangkan pokok Sycamore Gap yang terkenal serta merosakkan tembok purba itu.
Daniel Graham, 39 dan Adam Carruthers, 32, telah mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan kerosakan jenayah.
Pendakwa berkata nilai pokok itu dianggarkan melebihi 620,000 pound (AS$826,000) manakala kerosakan pada tembok pula dinilai sebanyak 1,100 pound (AS$1,466).

Perbicaraan selama dua minggu itu, yang asalnya dijadual bermula Disember lalu, ditangguhkan kerana Graham jatuh sakit.
Pendakwa belum mendedahkan bukti apa yang mereka miliki atau apa motif suspek menebang pokok yang dihormati itu.
Pendakwaan jenayah kerana menebang pokok adalah sesuatu yang jarang berlaku dan kemungkinan hukuman penjara untuk kesalahan sebegitu, tambahan pula hukuman maksimum untuk kerosakan jenayah ialah 10 tahun penjara mungkin sesuatu yang belum pernah terjadi, kata peguam Sarah Dodd yang pakar dalam undang-undang berkaitan pokok.
Pokok itu bukanlah yang terbesar atau tertua di Britain. Namun, kedudukan pokok itu mengisi ruang antara bukit di sepanjang tembok purba yang dibina oleh Maharaja Hadrian pada tahun 122 Masihi untuk melindungi sempadan barat laut Empayar Rom dan pokok itu sudah menjadi tarikan pengunjung dari generasi ke generasi lainnya. – AP