LONDON, 19 MAC – Dua lelaki didapati bersalah mencuri tandas emas bernilai £4.75 juta (US$6.17 juta) dari Istana Blenheim di selatan England, lapor PA Media/dpa.
Tandas emas 18 karat yang berfungsi sepenuhnya itu merupakan karya seni ciptaan artis Itali, Maurizio Cattelan dan dipamerkan di rumah agam di Oxfordshire, tempat kelahiran Sir Winston Churchill, sebelum ia dilarikan pada awal pagi 14 September 2019.
Mahkamah diberitahu bahawa tandas unik itu dipercayai telah dipotong dan dijual dalam bentuk ketulan emas.
Juri pada Selasa mendapati Michael Jones, 39, bersalah atas pertuduhan pecah masuk.
Jones, yang berasal dari Oxford, didakwa meninjau istana itu sebanyak dua kali sebelum kejadian.
Dalam keterangannya sebelum ini, Jones mengaku pernah menggunakan tandas emas itu sehari sebelum ia dicuri.

Sementara itu, James Sheen, 40, dari Wellingborough, Northamptonshire mengaku bersalah atas pertuduhan pecah masuk, bersubahat memindahkan harta jenayah serta satu pertuduhan berkaitan pemindahan harta jenayah dalam prosiding mahkamah pada April 2024.
Seorang lagi tertuduh, Frederick Doe, 36, yang juga dikenali sebagai Frederick Sines, dari Winkfield, Windsor, Berkshire didapati bersalah atas tuduhan bersubahat memindahkan harta jenayah.
Mahkamah diberitahu bahawa Doe membantu Sheen menjual sebahagian daripada emas yang dicuri dalam beberapa minggu selepas kejadian.
Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Bora Guccuk, 41, dari barat London dibebaskan daripada tuduhan sama.
Mahkamah menetapkan 19 Mei sebagai tarikh hukuman terhadap Doe, manakala tarikh hukuman bagi Jones dan Sheen akan diumumkan kemudian. – Bernama