Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Akibat memiliki rokok dan minuman keras tanpa cukai, dua lelaki dijatuhi denda oleh Mahkamah Majistret.
Ramlee bin Haji Othman, 59, mengaku bersalah memiliki 27 karton rokok seludup dalam keretanya ketika pemeriksaan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 27 Oktober 2019 diperintahkan untuk membayar denda $20,000 oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman.
Gagal membayar akan menyebabkannya menjalani hukuman 13 bulan penjara. Sementara Edon bin Gunsirung @ Md Anuar Khairul Iman bin Abdullah, 50, dikenakan denda $5,000 atau berdepan lima bulan penjara kerana memiliki 10 kantung plastik yang mengandungi 12 tin minuman keras tanpa permit dalam setiap plastik.
Dia didapati memiliki barang tegahan itu di dalam keretanya, ketika pemeriksaan dijalankan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 2 September 2019 jam 6:06 pagi.