KUCHING, 6 NOV – Dua lelaki masing-masing didenda RM50,000 atau dipenjarakan 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan mencuri elektrik di sebuah premis komersial di Jalan Tondong-Batu Kawa, pada Ogos lepas.
Mazuan Muhamad Muslim Marius, 25, dan Vinchy Yap, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Saiful Bahari Adzmi.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengikut Seksyen 33(3) Ordinan Elektrik (Bab 50) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu mengganggu pemasangan elektrik yang disambung ke meter lain dan suis utama sehingga menimbul bahaya kepada peralatan berlesen.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan sebanyak RM5,000 bagi kesalahan itu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 33(7)(a) Ordinan Elektrik (Bab 50) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu memasang kabel sambungan terus yang mengganggu sambungan meter, dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan ke atas setiap tertuduh. – Bernama

