NEW DELHI, 21 April – Dua lelaki dituduh membiayai dan merekrut bagi kumpulan Islamic State di India telah dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun hari ini, kata pegawai.
Azhar-ul-Islam dan Mohammad Farhan Shaikh telah ditangkap oleh badan pencegah keganasan India, Agensi Siasatan Kebangsaan (NIA) tahun lepas setelah diusir dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhubung kegiatan pengutipan dana haram.
“Kedua-dua mereka sudah pun dipenjarakan, dan hari ini telah dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh mahkamah,” kata Alok Mittal, seorang inspektor jeneral di NIA memberitahu AFP.
Kedua-duanya berusia dalam pertengahan 20-an, mengaku bersalah atas dakwaan konspirasi jenayah bulan lalu ‘tanpa sebarang tekanan, ancaman, pemaksaan atau pengaruh berlebih-lebihan’, menurut Press Trust of India. Lelaki berkenaan dikatakan telah menggunakan rangkaian media sosial seperti WhatsApp, Skype dan Facebook untuk mempromosi ideologi IS, mengambil rekrut baru dan membantu yang lain untuk membuat perjalanan ke Timur Tengah yang berkaitan dengan kumpulan itu, kata NIA.
Mereka juga mengutip wang tunai untuk IS – yang mengawal sebahagian wilayah di Iraq dan Syria – menerima dan memindahkan dana di UAE di mana kedua-duanya sering membuat perjalanan atas urusan kerja. – AFP