LONDON, 9 MEI – Dua lelaki telah disabitkan kesalahan hari ini kerana menebang pokok ikonik Sycamore Gap di utara England pada tahun 2023, dalam satu perbuatan vandalisme sekali gus mencetuskan kemarahan meluas daripada orang ramai.
Juri di Mahkamah Mahkota Newcastle mendapati Daniel Graham dan Adam Carruthers bersalah atas dua pertuduhan kerosakan jenayah kerana menebang pokok itu dan menyebabkannya tumbang ke atas Tembok Hadrian yang bersejarah.
Kedua-dua tertuduh tidak menunjukkan sebarang reaksi sebaik sahaja keputusan dibacakan.
Hakim Christina Lambert memerintahkan kedua-dua lelaki ditahan sehingga tarikh hukuman pada 15 Julai dan menyatakan mereka boleh berdepan ‘hukuman penjara yang panjang’.
Hukuman maksimum bagi jenayah kerosakan ialah 10 tahun penjara.

Kedua-duanya, yang dahulunya rakan rapat, memberi keterangan mereka tidak terlibat menebang pokok tersebut. Graham menuding jari kepada Carruthers.
Pendakwa menunjukkan sebuah video yang tidak jelas daripada telefon bimbit Graham yang merakam proses pokok ditebang dalam video yang dihantar kepada telefon Carruthers sejurus selepas itu.
Video itu dirakam di lokasi pokok di Taman Negara Northumberland. Data juga menunjukkan kenderaan Graham, Range Rover, berada di lokasi itu.
Pendakwa Richard Wright berkata beliau tidak dapat mengesahkan siapa yang menebang pokok dan siapa yang merakam, tetapi hanya dua lelaki itu yang memiliki video tersebut.
Pendakwa tidak mengemukakan sebarang motif bagi jenayah tersebut selain menyifatkannya sebagai vandalisme tanpa tujuan.
Namun Wright mencadangkan kepada juri, mereka menebang pokok itu ‘sekadar untuk berseronok’ tetapi gagal menyedari kemarahan awam yang bakal tercetus dalam tindakan yang disamakan sebagai ‘samseng terhadap alam sekitar’.
Pendakwa sebelum ini menyatakan pokok tersebut dinilai lebih 620,000 pound (sekitar AS$830,000) dan kerosakan pada tembok dianggarkan 1,100 pound (hampir AS$1,500).
Pendakwa Rebecca Brown berkata angka itu masih dipertikaikan dan mungkin lebih rendah, tetapi masih tergolong dalam kategori paling serius untuk tujuan hukuman. – AP