BANDA ACEH, INDONESIA, 26 OGOS – Dua lelaki dihukum sebat sebanyak 76 kali setiap seorang di khalayak ramai di Aceh hari ini selepas didapati bersalah menjalinkan hubungan sejenis oleh mahkamah syariah di wilayah konservatif itu.
Hubungan sejenis diharamkan di Aceh yang melaksanakan undang-undang syariah, namun tidak dianggap jenayah di wilayah lain di Indonesia yang merupakan negara majoriti beragama Islam terbesar di dunia.
Kedua-dua lelaki itu adalah antara 10 individu yang dihukum sebat di sebuah taman di Banda Aceh atas pelbagai kesalahan. Hukuman mereka dikurangkan daripada 80 sebatan kepada 76 kerana mengambil kira tempoh empat bulan dalam tahanan.
Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Polis Syariah Banda Aceh, Roslina A. Djalil, kedua-duanya ditahan pada April lalu selepas ditemui bersama di sebuah tandas awam di taman berkenaan. “Seorang warga tempatan melihat keadaan mencurigakan lalu membuat laporan,” katanya.
Selain mereka, tiga wanita dan lima lelaki turut disebat atas kesalahan zina, berdua-duaan dengan pasangan bukan mahram dan perjudian dalam talian. Hukuman sebat di Aceh mendapat sokongan kuat penduduk sebagai bentuk hukuman terhadap kesalahan seperti minum arak dan berzina.
Amnesty International mengecam hukuman berkenaan dengan menyatakan hukuman sebat tidak sepatutnya dilaksanakan dalam masyarakat yang adil dan berperikemanusiaan. – AFP










