KUNAK, 27 Feb – Polis menahan dua lelaki disyaki membuat dan menjual bom ikan dalam operasi berasingan di kawasan pinggir laut penempatan Pala’u di Kampung Kunak Tiga dan Kampung Air Kunak Tiga.
Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Mohd Nasaruddin M Nasir berkata dalam operasi bermula pukul 7:05 malam tadi, anggota polis Cawangan Khas menahan seorang lelaki berusia 25 tahun ketika sedang memikul sekarung guni dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri.
Hasil pemeriksaan ke atas suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu, didapati suspek membawa baja urea seberat 25kg yang dipercayai digunakan untuk membuat bom ikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Katanya, hasil soal siasat, suspek telah mendedahkan tempat memproses bom ikan dan serbuan telah dijalankan di Kampung Air Kunak Tiga, pukul 2:30 pagi tadi.
Nasaruddin berkata serbuan terhadap dua buah rumah berdekatan di kampung berkenaan telah menemui botol bom ikan yang telah siap untuk digunakan bersama sumbu, mancis, dawai, lima peledak dan peralatan lain yang dipercayai untuk tujuan aktiviti bom ikan.
“Dalam serbuan itu, anggota polis terpaksa mengharungi air laut yang pasang di paras paha kerana jambatan telah diputuskan oleh penduduk kampung bagi mengelak dari diserbu oleh pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, dalam serbuan itu seorang lelaki yang juga warga Filipina berusia 30-an turut ditahan. Beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan saki baki pembuat dan penjual mom ikan di daerah ini. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – Bernama