BANGKOK, 16 NOV – Renjer Thailand menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam rangkaian penyeludupan hidupan liar antarabangsa selepas mereka dikesan menaiki sebuah kereta membawa 81 ekor monyet berhampiran sempadan Kemboja, menurut tentera kelmarin.
Thailand merupakan hab transit utama bagi penyeludup hidupan liar, yang sering menjual haiwan terancam bernilai tinggi itu di pasaran gelap menguntungkan di China, Taiwan dan Asia Tenggara.
Satu rondaan telah menghentikan kenderaan berkenaan pada petang Jumaat di daerah Aranyaprathet, wilayah Sa Kaeo, di mana anggota tentera menemui monyet-monyet tersebut disumbat dalam sebuah beg jaring biru.
“Pada jam 3:20 petang, pihak berkuasa menahan dua suspek dan memeriksa kenderaan mereka,” kata Rejimen Renjer ke-12, yang bertanggungjawab di kawasan berkenaan, dalam satu kenyataan di Facebook.
Tentera turut merampas pil methamphetamine dan syabu, namun jumlahnya tidak dinyatakan.
Ketika disoal siasat, kedua-dua lelaki itu mengaku terbabit dalam sindiket penyeludupan rentas sempadan yang membawa monyet dari Thailand ke Kemboja, menurut kenyataan tentera di Facebook.
Anggota tentera kini bekerjasama dengan polis untuk meneruskan pertuduhan di bawah undang-undang perlindungan hidupan liar dan narkotik.
Tahun lalu, Thailand menghantar pulang hampir 1,000 lemur dan kura-kura yang sangat terancam ke Madagascar selepas operasi terbesar kedua-dua negara terhadap penyeludupan hidupan liar.
Pada Mei, polis Thailand menahan seorang lelaki yang disyaki menyeludup dua anak orang utan ke dalam negara itu. – AFP

