LONDON, 15 JULAI – Dua lelaki yang didapati bersalah menebang salah satu pokok paling ikonik di United Kingdom (UK) secara ‘sengaja dan tidak bertanggungjawab’, yang mencetuskan kemarahan di seluruh negara telah dijatuhkan hukuman penjara empat tahun.
Graham, 39, dan Carruthers, 32, masing-masing disabit bersalah dua tuduhan kerosakan jenayah iaitu memusnahkan pokok dan merosakkan tembok kuno.
Hakim Christina Lambert menjatuhkan hukuman penjara empat tahun tiga bulan terhadap kedua-duanya semasa perbicaraan di Mahkamah Newcastle Crown.
Pokok tersebut telah hidup selama hampir 200 tahun di sebelah Tembok Hadrian, sebuah tapak Warisan Dunia UNESCO di utara England.
Pokok tersebut cukup ikonik sehingga menjadi latar dalam filem Hollywood 1991, Robin Hood: Prince of Thieves.
Juri di Mahkamah Newcastle pada Mei lalu telah mendapati bekas rakan, Daniel Graham dan Adam Carruthers bersalah atas tuduhan menyebabkan kerosakan jenayah berhubung penebangan pokok di Sycamore Gap pada 2023.
Mengulas keputusan bersalah itu, badan pemuliharaan National Trust menyatakan bahawa penebangan pokok yang tidak perlu itu telah ‘mengejutkan orang ramai di seluruh negara dan juga di luar negara’.
Dua lelaki itu telah memandu ke lokasi berdekatan Hexham menggunakan kenderaan Range Rover milik Graham dan menebang pokok tersebut pada malam 27 September 2023, dengan menggunakan gergaji rantai dan menebangnya ‘dalam beberapa minit sahaja,’ kata pendakwa raya Richard Wright. – AFP
