STOCKHOLM, 15 APRIL – Polis Sweden telah mengesahkan dua lelaki maut dalam insiden tembakan di Gothenburg, bandar kedua terbesar di negara itu, yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan kumpulan ganas di daerah itu.
Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut sejurus sebelum tengah malam.
“Di tempat kejadian, dua lelaki berumur antara 20 hingga 25 tahun ditemui dengan luka tembakan.
“Mereka dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami,” menurut kenyataan polis.
Siasatan kes bunuh telah dijalankan, namun setakat ini, belum ada suspek yang dikenal pasti. Laporan akhbar Goteborgs-Posten menyatakan serangan itu mungkin berkaitan dengan persaingan geng dan serangan balas dendam terhadap kejadian tembakan sebelumnya.
Agensi berita TT melaporkan sejak awal tahun, sekurang-kurangnya tiga tembakan dan lapan letupan bom telah dilaporkan di sekitar kawasan Gothenburg. – AFP
