Wednesday, February 12, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua lelaki menyamar pegawai kerajaan dalam talian ditahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 FEB- Dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes penyamaran bersiri, termasuk menyamar sebagai pegawai kanan kerajaan dan melaksanakan penipuan pelaburan melalui aplikasi media sosial telah berjaya ditangkap oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti pelaburan dalam talian dan bertindak sebagai ‘keldai akaun’ atau account mule kad SIM setelah menerima arahan daripada individu tidak dikenali yang dikenali sebagai Admin dalam sebuah kumpulan sembang di aplikasi Telegram.

    Suspek dipercayai diarahkan untuk mendaftarkan kad SIM baharu, yang kemudian digunakan oleh Admin untuk menyamar sebagai pegawai kanan kerajaan bagi memperdaya dan meyakinkan orang ramai supaya melabur dalam skim pelaburan yang ditawarkan.

    Selain itu, suspek juga diarahkan untuk memasukkan wang pelaburan ke dalam akaun-akaun orang yang tidak dikenali.

    Hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan satu kumpulan sembang dalam aplikasi Telegram bernama City Index Stock Market yang disyaki digunakan sebagai platform untuk menjalankan penipuan pelaburan dalam talian.

    Beberapa individu tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘keldai akaun bank’ turut dikenal pasti. Jumlah kerugian serta bilangan mangsa yang terlibat masih dalam siasatan.

    PPDB mengingatkan orang ramai agar tidak menyewakan akaun bank atau mendaftarkan nombor Kad SIM bagi kegunaan pihak lain. Individu yang terlibat dalam aktiviti berkenaan boleh didakwa di bawah Seksyen 3, Pengubahan Wang Haram, Perintah Mengembalikan Aset Jenayah, 2012 dengan hukuman denda sehingga $500,000, penjara sehingga 10 tahun, atau kedua duanya sekali dan Seksyen 417, Kanun Hukuman Jenayah (Menipu) dengan hukuman penjara sehingga 3 tahun dan denda.

    Selain itu, PPDB menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap sindiket penipuan yang menggunakan media sosial dan Internet untuk menawarkan barangan, perkhidmatan atau pelaburan dengan harga yang kelihatan terlalu murah dan sangat menguntungkan. Juga diingatkan supaya jangan membuat sebarang pembayaran tanpa bukti yang sahih mengenai tawaran tersebut.

    Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini atau individu yang terlibat, orang ramai digesa untuk melaporkannya ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian kecemasan 993.

    Kumpulan sembang dalam Telegram digunakan untuk menjalankan penipuan. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda