Saturday, November 9, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua lemas, 12 hilang bot nelayan karam di Pulau Jeju

    JEJU, 8 NOV – Dua orang maut manakala 12 lagi masih hilang selepas sebuah bot nelayan karam di perairan selatan Pulau Jeju hari ini dengan operasi mencari sedang dijalankan, menurut laporan pengawal pantai.

    Menurut agensi berita Yonhap, bot bernama Geumseong seberat 129 tan membawa 27 kru – 16 rakyat Korea Selatan dan 11 warga asing – ketika pengawal pantai menerima panggilan kecemasan pada 4:33 pagi, memaklumkan bahawa bot itu sedang tenggelam 24 kilometer dari Pulau Biyang di Jeju.

    Daripada 27 kru, 15 berjaya diselamatkan, termasuk dua yang ditemukan tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital berhampiran.

    Dua lagi, kedua-duanya warga Korea Selatan kemudiannya disahkan meninggal dunia.
    Kru yang diselamatkan melaporkan bahawa mereka sedang memindahkan hasil tangkapan ke kapal lain apabila bot itu tiba-tiba terbalik dan mula karam, menurut pengawal pantai.

    Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan mengarahkan agensi berkaitan, termasuk pengawal pantai serta kementerian pertahanan dan lautan, untuk menggerakkan semua sumber dan anggota yang ada bagi menyelamatkan mereka yang masih hilang, menurut jurucakap presiden, Jeong Hye-jeon.

    Beliau turut menyeru agar langkah-langkah diambil untuk memastikan keselamatan anggota penyelamat. – Bernama

    Pekerja bot nelayan yang diselamatkan menunggu untuk dipindahkan ke hospital di sebuah pelabuhan di Pulau Jeju, Korea Selatan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda