Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Dua lagi lokasi telah dikenal pasti untuk dijadikan pusat pengasingan di Kuala Belait (KB) yang mana ia dijangka boleh digunakan dalam masa terdekat ini.
Perkara berkenaan didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Pada sidang media itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan, dengan jumlah mereka yang dijangkiti lebih 1,000 orang, Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), Tutong hanya dapat menampung 320 orang sahaja.
Melihat kepada jumlah yang bertambah itu, pesakit COVID-19 yang berada dalam tahap 1 dan 2 serta dalam keadaan yang stabil akan dipindahkan ke Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong dan Mahad Islam Brunei.
Beliau seterusnya mengongsikan, pada masa ini Mahad Islam Brunei sedang berada dalam fasa 2 dan 3 yang mana fasa 2 ini boleh menampung 400 orang dan ia dijangka siap dalam masa terdekat manakala fasa 3 pula akan siap dalam beberapa hari akan datang.
