Dua mangsa bot karam diselamatkan

TAWAU, 24 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan dua lelaki yang terapung di laut selepas bot dinaiki mereka karam di Sungai Pukul, Pulau Sebatik dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata mangsa berumur 35 dan 40 tahun itu diselamatkan pada 5.00 petang ketika anggotanya sedang menjalankan operasi cegah pendatang haram, sebelum mengesan sebuah bot mencurigakan, karam.

“Pemeriksaan mendapati dua lelaki iaitu seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia terapung bersama bot yang hampir karam di lokasi lebih kurang satu batu nautika barat laut muara Sungai Pukul, dengan keadaan laut bergelora dan cuaca buruk.

“Mangsa terapung kira-kira 15 minit sebelum diselamatkan pasukan yang berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata Siva Kumar, mangsa bergerak dari Jeti Log Pond di Tanjung Batu menuju ke Jeti Sungai Melayu, namun ketika dalam perjalanan tiba-tiba kedua-dua enjin bot mengalami kerosakan dan tidak dapat dihidupkan malah pam mudah alih juga tidak berfungsi bagi mengepam keluar air daripada bot yang dimasuki air.

“Kedua-dua mangsa dibawa pulang ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik pada 8.30 malam setelah keadaan laut tenang,” katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 bagi menyalurkan maklumat jenayah, aduan serta mendapatkan bantuan kecemasan di laut. – Bernama