Wednesday, January 15, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua mangsa Pearl Harbour hadiri upacara memperingati korban

    HAWAII, 8 DIS – Ira ‘Ike’ Schab, seorang mangsa serangan Pearl Harbor berusia 104 tahun, begitu berazam untuk berdiri dan memberi tabik hormat semasa upacara memperingati mereka yang terkorban dalam pengeboman Jepun yang mendorong Amerika Syarikat (AS) terlibat dalam Perang Dunia Kedua kira-kira 83 tahun lalu.

    Schab bangkit dari kerusi rodanya dan mengangkat tangan kanannya kelmarin, membalas tabik hormat yang diberikan oleh kelasi di atas kapal pemusnah dan kapal selam yang melalui di pelabuhan. Manakala anak lelaki dan perempuannya membimbingnya di sebelah kiri dan kanan.

    Schab adalah salah seorang daripada dua anggota tentera yang hidup semasa serangan itu yang telah menghadiri acara tahunan dianjurkan oleh Tentera Laut AS dan Perkhidmatan Taman Negara.

    Pengeboman pada 7 Disember 1941 membunuh lebih 2,300 askar AS. Hampir separuh, atau 1,177, terdiri daripada kelasi dan Marin di atas kapal USS Arizona, yang tenggelam semasa pertempuran. Mayat lebih 900 kru kapal Arizona masih terkubur dalam kapal yang tenggelam itu.

    Berpuluh-puluh mangsa yang terselamat pernah menyertai acara itu tetapi kehadiran mereka telah berkurangan kerana mangsa yang terselamat telah meningkat usia. Hari ini, terdapat hanya 16 orang yang masih hidup, menurut senarai yang disimpan oleh Pengerusi Negeri California bagi Anak-anak Lelaki dan Wanita yang terselamat dalam Pearl Harbor, Kathleen Farley.

    Sejarawan tentera, J. Michael Wenger menganggarkan terdapat kira-kira 87,000 anggota tentera di Oahu pada hari serangan itu.

    Semenatara itu, Ken Stevens, 102, yang berkhidmat di USS Whitney, turut menyertai Schab pada majlis itu. Manakala kelasi USS Curtiss Bob Fernandez, 100, iaitu mangsa ketiga yang terselamat tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan. – AP

    Stevens (dua dari kiri), dan Schab semasa menghadiri upacara Hari Peringatan Pearl Harbor ke-83 pada 7 Disember, di Honolulu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda