TOKYO, 24 APRIL – Dua anggota marin Amerika Syarikat (AS) yang ditempatkan di Jepun kini sedang disiasat atas dakwaan merogol wanita tempatan di Okinawa, menurut pihak polis hari ini. Kes itu menjadi insiden terbaharu dalam siri kes serangan seksual yang semakin membangkitkan kemarahan penduduk setempat.
AS kini menempatkan sekitar 54,000 anggota tenteranya di Jepun, sebahagian besarnya berada di pulau selatan subtropika Okinawa, yang terletak berdekatan Taiwan.
“Salah seorang marin, berusia dalam lingkungan 20an, disyaki telah merogol seorang wanita Jepun di sebuah pangkalan tentera AS pada bulan Mac dan turut disyaki mencederakan seorang lagi wanita,” kata seorang pegawai polis tempatan kepada AFP.
Manakala seorang lagi anggota marin, juga dalam lingkungan umur yang sama, disyaki merogol seorang wanita Jepun di pangkalan tentera AS pada Januari lepas, tambah pegawai tersebut.
Pihak polis telah merujuk kedua-dua kes kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Duta Besar AS ke Jepun, George Glass, menyatakan bahawa Washington akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa Jepun dalam siasatan itu.
“Kami amat menghargai hubungan kepercayaan dan persahabatan yang telah kami bina bersama tuan rumah Jepun selama beberapa dekad dan saya komited untuk melakukan segala yang mungkin bagi mencegah tindakan yang boleh menjejaskan hubungan ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi. – AFP
