Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Seramai 40 ahli Kelas Iqra Masjid Imam Haji Awang Hashim Pekan Sipitang (IHAHPS) telah mengadakan program lawatan muhibah dan silaturahim ke Masjid Kampung Kapok, baru-baru ini.
Ketibaan rombongan di masjid berkenaan telah dialu-alukan oleh Timbalan Pengerusi Muslimah Masjid Kampung Kapok, Muara, Hajah Damit binti Arsat dan ahli-ahli Muslimah masjid berkenaan.
Manakala bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Bilal Masjid Kampung Kapok, Awang Waqiuddin bin Awang Haji Yusri.

Dalam kunjungan itu, rombongan yang diketuai oleh Hajjah Dayang binti Haji Abu Bakar telah berpeluang mendengarkan taklimat ringkas mengenai perkembangan Muslimah Masjid Kampung Kapok yang disampaikan oleh Pengerusi Muslimah Masjid Kampung Kapok, Dayang Latipah binti Haji Budin dan seterusnya menyaksikan prasarana masjid berkenaan.
Semasa lawatan ke masjid berkenaan, rombongan juga berpeluang menyaksikan bercorak keagamaan seperti dikir dan persembahan tausyeh daripada Muslimah Masjid Kampung Kapok.
Rombongan juga berpeluang mengadakan lawatan ke Masjid Az-Zakireen, Rancangan Perumahan Negara Meragang, dan ketibaan rombongan di masjid berkenaan dialu-alukan oleh Penyelia Muslimah Masjid Az-Zakireen, Dayang Nurul Iffah Amalina binti Omar bersama ahli-ahli Muslimah Masjid Az-Zakireen.


Pihak rombongan pelawat juga berkesempatan mendengar taklimat daripada Imam Masjid Az-Zakireen, Haji Shabirin bin Haji Mohd Noor dan seterusnya melihat lebih dekat prasarana yang terdapat dalam masjid berkenaan.
Semasa mengadakan kunjungan di Masjid Az-Zakireen, rombongan berpeluang mendengarkan taklimat dan melihat lebih dekat kemudahan yang terdapat di masjid berkenan seperti mengadakan lawatan bilik tamu VIP, perpustakaan, bilik memandikan jenazah dan bilik-bilik kuliah.
Selain itu, rombongan juga berpeluang menyaksikan secara dekat teknik pengajaran Al-Quran Muslimah.
Turut hadir semasa lawatan muhibah ahli Kelas Iqra Masjid IHAHPS itu, Muslimah Masjid Setia Ali, Pekan Muara, Muslimah Masjid Perpindahan Serasa dan Muslimah Masjid Az-Zakireen.

