SLOVAKIA, 17 JAN – Seorang pelajar berusia 18 tahun telah menikam mati dua orang di sebuah sekolah menengah di Slovakia utara kelmarin, menurut pihak berkuasa.
Seorang lagi mangsa berada dalam keadaan kritikal, menurut perkhidmatan penyelamat Slovakia. Kejadian tikaman itu berlaku di Spisska Stara Ves, sebuah bandar kecil yang bersempadan dengan Poland yang mempunyai populasi lebih 2,000 orang.
Suspek pada awalnya melarikan diri, tetapi polis mengatakan bahawa dia telah ditahan tidak lama selepas serangan tersebut.
Polis menyatakan bahawa suspek menyerang seorang guru dan dua pelajar. Maklumat lanjut belum tersedia pada masa ini.
Menurut perkhidmatan penyelamat, seorang penolong pengetua sekolah berusia 51 tahun dan seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun terbunuh dalam serangan berkenaan.
Presiden Peter Pellegrini menyifatkan serangan itu sebagai satu tragedi dan menyampaikan ucapan takziah bersama Perdana Menteri Robert Fico kepada keluarga mangsa.
“Tiada masalah di dunia ini yang boleh diselesaikan dengan pisau atau sebarang senjata lain,” kata Pellegrini.
Menteri Dalam Negeri, Matus Sutaj Estok dan Menteri Pendidikan, Tomas Drucker telah mengunjungi bandar tersebut.
Drucker berkata beliau akan berusaha mengambil langkah-langkah bagi mencegah serangan seumpama itu daripada berulang pada masa hadapan serta melindungi pelajar dan guru.
Serangan seperti ini jarang berlaku di Slovakia. Pada tahun 2020, seorang bekas pelajar berusia 22 tahun menyerang sebuah sekolah menengah di bandar Vrutky, menyebabkan kematian timbalan pengetua dan mencederakan lima orang, termasuk dua pelajar. Pada 2022, seorang pelajar sekolah menengah menyerang dan mencederakan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Novaky. – AP