NEW YORK, 6 OKT – Dua orang maut manakala 12 lagi cedera pada Sabtu lalu selepas kumpulan bersenjata saling berbalas tembakan di Montgomery, ibu negeri Alabama, Amerika Syarikat (AS).
Ketua Polis Montgomery, James Graboys berkata tiga daripada mangsa cedera berada dalam keadaan kritikal.
Menurut laporan CBS News, polis menerima panggilan kecemasan sekitar 11:30 malam waktu tempatan.
“Dua kumpulan yang terlibat saling berbalas tembakan di tengah-tengah orang ramai tanpa menghiraukan keselamatan orang di sekeliling,” katanya kepada pemberita.
Graboys berkata siasatan sedang dijalankan termasuk mengumpul bahan bukti dan menyoal siasat suspek yang berpotensi.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mendakwa dan menahan pihak yang bertanggungjawab. Setakat kelmarin, tiada tangkapan dibuat.
Kejadian berlaku tidak lama selepas perlawanan bola sepak antara Universiti Tuskegee dan Kolej Morehouse, menurut CBS News.
Pihak berkuasa belum mendedahkan identiti mangsa yang maut, namun MPD memaklumkan sekurang-kurangnya seorang daripada mangsa ialah wanita.
Tiada butiran lanjut dikeluarkan mengenai mangsa kedua.
Datuk Bandar Montgomery, Steven Reed berkata pihaknya akan menggunakan segala sumber yang ada untuk mengheret semua individu yang terlibat ke muka pengadilan. – Bernama

