SOFIA, 19 NOV – Dua orang terkorban ketika angin ribut melanda Bulgaria dan Romania hari ini.
Hujan lebat, banjir dan salji menyebabkan terputusnya bekalan elektrik dan terhalangnya jalan raya di wilayah timur kedua-dua negara, memaksa pengisytiharan keadaan kecemasan di kawasan Laut Hitam Bulgaria, Varna.
Seorang wanita berusia 43 tahun terbunuh ketika pokok tumbang menghempapnya di pusat Varna kelmarin, disamping mencederakan dua orang anggota pasukan ambulan yang bekejar ke tempat kejadian, kata polis dalam satu kenyataan.
Sepohon pokok tumbang ke atas sebuah kereta yang sedang lalu di sebuah jalan pinggiran Sofia awal kelmarin, mengorbankan pemandu berusia 65 tahun dan mencederakan isterinya dengan serius, yang dimasukkan ke hospital, kata pihak berkuasa.
“Cuaca buruk menyebabkan kehilangan nyawa. Angin ribut dan hujan lebat, di beberapa buah tempat juga salji, menjadikan kerja pasukan kecemasan sukar pada waktu malam,” kata Blagomir Kotsev, Datuk Bandar Varna dalam satu kenyataan awal hari ini, mengisytiharkan keadaan kecemasan dan menasihati penduduk untuk kekal di dalam rumah.
Lapangan terbang Varna kekal dibuka tetapi beberapa penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan.
Perkhidmatan kereta api juga terganggu oleh ranting dan pokok yang tumbang di rel.
Ribut yang sama melanda tenggara Romania, menutup pelabuhan Laut Hitam. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/11/P20-2B-web_20112023.jpg)